Semua jawatan Kumpulan Kenanga dilepaskan pada Jun 2010 - Zafrul
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau telah melepaskan kesemua pelantikan sebagai eksekutif dan pengarah dalam Kumpulan Kenanga Holdings Bhd pada Jun 2010 setelah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd.
Merujuk kepada artikel yang diterbitkan di Malaysiakini bertarikh 4 Oktober 2021 bertajuk “Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak”, Tengku Zafrul menjelaskan beliau telah memegang jawatan Pengarah Kumpulan dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Bhd dari Januari 2009 hingga Jun 2010.
“Melalui jawatan ini, saya juga telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Ltd,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pada Jun 2010, kesemua pelantikan itu telah dilepaskan.
“Walaupun pejabat saya ketika dihubungi telah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika saya meninggalkan Kumpulan Kenanga pada Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut dan membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Ltd, walhal ia adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga,” menurutnya.
Tengku Zafrul berkata beliau telah merujuk perkara berkenaan kepada peguamnya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai