Skip to main
Logo Malaysiakini

Hotel di Langkawi henti operasi lepas 59 pekerja positif Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah hotel terkemuka di Langkawi menghentikan operasinya buat sementara waktu selepas 59 pekerjanya disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata jumlah mereka yang positif itu dikesan susulan ujian saringan COVID-19 ke atas 249 pekerja hotel serta anggota keluarga mereka.

"Mereka yang positif ini ada yang kuarantin diri di rumah, asrama pekerja dan juga PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan hotel bersetuju untuk menutup sementara operasi hotel terbabit secara sukarela demi keselamatan orang ramai, sekali gus mengekang penularan virus itu.

Dr Othman berkata hasil siasatan pihaknya mendapati penularan jangkitan yang berlaku di hotel itu berpunca daripada kalangan penduduk tempatan dan bukannya melibatkan pelancong.

Katanya penularan jangkitan itu ialah di bawah kluster tempat kerja yang dikenali Dah Teluk Nibung.

- Bernama