Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Melawan serakah pada rumah mewah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Ribuan reka bentuk simbol tanda tanya menari-nati dalam fikiran. Senak dan rimas kepala dengan persoalan apa perlunya memiliki kediaman agam yang bilik tidurnya saja ada berpuluh-puluh.

Itu belum lagi berpuluh-puluh tandas, entah berapa dapur dan sekian banyak hiasan mewah untuk melengkapkan rumah tersebut.

Sesetengah orang memang boleh menikmati hidup yang indah di bawah bumbung rumah agam. Namun keindahan rumah dan kemewahan perabot dan puluhan kamarnya tidak pernah menjanjikan waima tidur yang lena. Apatah lagi mimpi yang indah.

Adanya tandas-tandas yang canggih dan kadang-kadang mungkin lebih mewah daripada seunit rumah kos rendah bukan menjamin penghuninya bebas daripada sembelit.

Sebagai seorang rakyat marhaen sudah tentu justifikasi untuk membelanjakan berjuta-juta ringgit itu berbeza dengan orang yang sudah biasa hidup dengan serba kemewahan atau keistimewaan. Apa lagi dengan orang yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada kerajaan ketika dia sendiri adalah kerajaan itu.

Cuma sebagai rakyat yang sayangkan negara dan tidak pernah melarikan diri daripada cukai, hati tentu berdetik apabila wang umum dibelanjakan sebegitu rupa ketika orang bawahan bergelut mencari sumber mengisi perut.

Ada baiknya jika kita merenung sejenak betapa di negara-negara barat sekarang ini ramai yang sedang teruja dengan gaya hidup berkonsepkan tiny house (rumah kecil).

Di negara-negara maju dan kaya - serta bukan negara Islam pula - penduduknya semakin berminat untuk hidup seadanya, dan mengikut keperluan sebenar. Mereka memilih untuk tidak bermegah-megah.

Untuk makluman gerakan rumah kecil itu menggalakkan orang ramai mengurangkan ruang kediaman masing-masing serta mempermudahkannya. Pada umumnya konsep rumah kecil itu ialah binaan kediaman yang berkeluasan 400 kaki persegi (37 meter persegi) saja.

Selain menjimatkan, konsep tersebut jauh lebih mesra alam selain mengurangkan tekanan harga kepada pengguna yang berdepan dengan kerenah industri pembinaan rumah.

Nampaknya di negara-negara Barat itu rakyatnya lebih memahami makna bersederhana ketika di negara ini kita semakin kehilangan makna zuhud terutama dalam kalangan pemimpin.

Dengan kenyataan ini tidaklah pula saya maksudkan agar kediaman para pemimpin negara diubah menjadi seperti teratak di tepi sawah. Pada hemat saya ada baiknya konsep dan falsafah tiny house itu ambil dan sesuaikan untuk kita guna.

Pembaziran mesti dielakkan, tambahan pula pada ketika negara masih bergelut dengan seribu satu kepayahan ini. Jangan disindir kami rakyat terbanyak itu sebagai dengki dengan sesiapa.

Kami sedar kami ini cuma rakyat jelata. Tetapi kami juga sedar sekarang ini negara sedang dimeriahkan dengan slogan Keluarga Malaysia. Justeru semua ahli keluarga sepatutnya berhak bersuara.

Apa maknanya berkeluarga yang satu apabila kita berbelanja berjuta-juta untuk rumah mewah sedangkan pada masa yang sama ada ahli keluarga kita bergelut hendak mendenyutkan nanti anak isteri di bawah tangga.

Semoga para pemimpin lebih mempamerkan nilai-nilai murni dan mulia, barulah keluarga jadi makmur sentosa.

Saya berpendapat teguran ini tidaklah layak keluar daripada kepala saya. Ia lebih afdal dijelaskan oleh para ulama dan ilmuan agama yang lebih arif dengan ajaran Islam.

Namun setakat ini nampaknya belum ada lagi yang bersuara. Untuk membaca syair, gurindam atau puisi, lagilah tidak kelihatan. Barangkali mereka sedang memilih-milih kata yang lunak untuk menegur.

Almaklumlah, ini ialah kerajaan yang mereka puja-puja dengan sepenuh jiwa raga.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang minat melukis, memerhati dan menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.