Peniaga dakwa rugi lebih RM139,000 ditipu Macau Scam
Seorang peniaga mendakwa kerugian RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akhir bulan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata seorang lelaki berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 25 Sept daripada seorang wanita kononnya pegawai LHDN di Melaka.
"Suspek mendakwa syarikat ditubuhkan mangsa mempunyai tunggakan cukai, yang dinafikan mangsa menyebabkan wanita itu menghubungkan panggilan itu kepada seorang suspek lelaki kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka bagi membantu mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata ‘pegawai polis’ itu kemudian memaklumkan syarikat di bawah nama mangsa turut terlibat dengan siasatan kes jenayah dan mangsa perlu menyerahkan maklumat peribadi serta perbankan bagi tujuan semakan untuk 'membersihkan' wang mangsa.
Selain itu, mangsa juga diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun sementara diberikan ‘pegawai polis’ itu sehingga siasatan selesai, yang dilakukan mangsa menerusi 11 transaksi secara dalam talian bermula 27 Sept hingga semalam.
Katanya mangsa mula berasa curiga apabila 'pegawai polis' itu enggan menjawab jangkaan masa untuk wangnya dikembalikan semula selain semakin mendesak supaya lebih banyak transaksi pemindahan wang dibuat.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub semalam dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai