Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat Malaysia wajar kutuk Langkah Melaka, kata Muda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia wajar mengutuk percaturan politik yang membawa kepada terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kata parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Setiausaha agung penajanya, Amira Aisya berkata keputusan empat Adun menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali itu mengabaikan kebajikan rakyat yang telah lama berkorban ke arah pemulihan Malaysia daripada wabak Covid-19.

Menurut Amira langkah itu "sangat mendukacitakan," berkata ia hasil daripada percaturan politik kuasa dan parti semata-mata antara Umno dan PN. 

Setiausaha agung penaja Muda, Amira Aisya.

Katanya, perkembangan itu “sangat mendukacitakan” dan wajar dikutuk oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kini setiap pengorbanan rakyat Malaysia dibuang begitu sahaja demi kepentingan kuasa segelintir ahli politik.

“Tindakan mengutamakan kedudukan politik serta ketaksuban terhadap kuasa secara terang-terangan harus dikutuk semua rakyat Malaysia.

“Rakyat sudah tidak boleh lagi tunduk dengan permainan politik yang akhirnya hanya menguntungkan ahli politik,” katanya lagi.

Hari ini, Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN yang diwartakan hari ini.

Mengikut perlembagaan negeri, selepas DUN dibubarkan suatu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Adun kerajaan diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang daripada Umno, mengumumkan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.

Selain Idris, tiga Adun lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) juga dari Umno, Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dua lagi Adun juga dikatakan bakal mengambil langkah sama.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan meluahkan rasa kesalnya terhadap kemelut politik berpunca daripada gerakan oleh ahli politik “senior” itu.

“Kestabilan politik baru nak bina, goyah. Pemulihan ekonomi tergugat. Imej parti terkesan.

“Kalau individu senior masih tunjuk contoh macam ni, bergaduh tak henti sebab kuasa atau ego, jangan terkejut kalau pengundi muda masih susah nak sokong parti

“Pecat tu dah perlu. Tapi damage done (nasi dah jadi bubur),” ciapnya di Twitter, dipercayai merujuk Adun dari Umno yang terlibat dalam gerakan itu.