Skip to main
Logo Malaysiakini

Bubar DUN Melaka tindakan gopoh - PKR Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Badan Perhubungan PKR Negeri Melaka mengecam pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang menyebabkan pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan.

Pengerusinya, Halim Bachik berkata keputusan Speaker DUN Melaka Abdul Rauf membubarkan DUN negeri itu membelakangkan kepentingan rakyat.

"Tindakan yang dibuat oleh beliau jelas melanggar etika sebagai ahli politik yang meletakkan kepentingan rakyat di belakang dalam tempoh pandemik ketika ini.

"Tindakan yang gopoh dan tergesa-gesa ini sudah pasti akan memberi kesan yang buruk dan demi survival politik, kepentingan rakyat telah diketepikan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Rauf susulan empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri.

Empat Adun itu ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Petang tadi Abdul Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka dalam sidang media mengumumkan bahawa pembubaran DUN Melaka mendapat persetujuan Yang di-Pertua (YDP) Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Sejurus mengumumkan pembubaran itu, Abdul Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka menyerahkan proklamasi pembubaran DUN kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.

Sementatra itu, Halim berkata bahawa PKR Melaka bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

"PKR adalah satu parti yang bersedia dengan sebarang kemungkinan sejak rampasan kuasa pasca-PRU14.

"Kami akan bersama-sama sahabat dari gabungan Pakatan Harapan untuk terus memastikan demokrasi di dalam negeri ini hidup dan tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak," katanya.