Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana luar pesisir terkait skandal 1MDB juga terlibat dalam penipuan India dan Rusia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KERTAS PANDORA | Pemeriksaan Malaysiakini - yang menjadi sebahagian daripada siasatan bersama Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) - mendapati dana yang terlibat dalam pemindahan wang yang diseleweng daripada 1MDB ada kaitan dengan kes penipuan berprofil tinggi di India dan Rusia.

Dua dana pelaburan yang berpengkalan di Curacao - Enterprise Emerging Markets Fund BV (EMMF) dan Cistenique Investment Fund BV - terlibat dalam pemindahan dana seleweng daripada 1MDB berjumlah AS$455 juta (RM1.49 bilion) dari 2012 ke 2013.

Dana itu terbabit dalam dua bahagian penipuan 1MDB. Pertama dengan menyalurkan sebahagian AS$3.5 bilion (RM11.2 bilion berdasarkan kadar pertukaran kemudian) yang diperoleh melalui bon yang disokong kerajaan pada 2012 dan memindahkan wang tunai yang dicuri itu kepada syarikat dimiliki oleh rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Jho Low

Pada bahagian kedua, ia sebahagian daripada empat syarikat yang terbabit dalam mengambil AS$1.59 bilion (RM5.32 bilion) daripada bon yang didapatkan dengan bantuan bank pelaburan Goldman Sachs pada 2013.

Sebanyak AS$681 juta (RM2.28 bilion) wang itu dimasukkan ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, kata Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Najib menafikan sebarang salah laku manakala pasukan peguamnya berpendapat ahli parlimen Pekan dikelirukan oleh orang lain.


BACA 'Stolen' 1MDB Funds: The DOJ lawsuit revisited


Hubungan antara 1MDB dan skandal berprofil tinggi di Rusia ditemukan ekoran carian Malaysiakini mengenai syarikat-syarikat yang berkaitan dengan skandal 1MDB di Kertas Pandora.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada ICIJ dan rakan-rakannya, yang berasal daripada firma-firma yang memberikan perkhidmatan kepada mereka yang ingin menubuhkan atau mengurus pemegang amanah luar negara dan syarikat-syarikat di tempat pelindungan cukai.

Pautan itu ditemui melalui sejumlah dokumen yang dibocorkan daripada Aleman, Cordero, Galindo & Lee (Algocal), sebuah firma undang-undang terkemuka di Panama.

Pun begitu, sebab mengapa skandal Rusia menarik perhatian Algocal tidak dinyatakan dalam Kertas Pandora.

Namun apa yang jelas, EEMF dan Cistenique didakwa menjadi sebahagian daripada skandal India dan Rusia antara 2009 dan 2015, pada masa sama skandal 1MDB berlaku.

Namun, walaupun mereka terlibat secara meluas dalam dakwaan memfasilitasi pelbagai penipuan kewangan antarabangsa bernilai berbilion dolar, individu di belakang EEMF dan Cistenique tidak menghadapi sebarang pertuduhan, manakala identiti mereka tetap menjadi misteri.

Apakah penipuan di Rusia dan India?

Peranan yang dimainkan oleh EEMF dan Cistenique dalam penipuan India dan Rusia bermula daripada tuduhan terlibat dalam memindahkan dana hingga memiliki saham di syarikat yang didakwa terbabit dalam penipuan.

Di Rusia, dana tersebut dilaporkan berkaitan dengan penggelapan AS$2 bilion (RM8.28 bilion) oleh pengasasnya Larisa Markus, yang mengakibatkan penutupan bank Rusia Vneshprombank (Bank Industri Ekonomi Asing) pada 2016.

EEMF dan Cistenique merupakan pemegang saham utama Vneshprombank, yang merupakan salah satu penipuan bank terbesar di negara itu. EEMF memegang 12.52 peratus manakala Cistenique memegang 9.85 peratus kepentingan di Vneshprombank.

Ditubuhkan pada 1995, bank itu merupakan salah satu bank peringkat pertengahan utama Rusia pada 2014 dan mendapat reputasi sebagai bank VIP.

Pada 2015, Forbes Russia melaporkan pelanggan bank itu termasuk isteri timbalan perdana menteri Dmitry Kozak dan menteri pertahanan Sergei Shoigu.

Ketika mendedahkan penipuan itu, pihak berkuasa Rusia mengatakan Markus dan Georgy Bedzhamov, adik lelakinya dan pemilik bersama Vneshprombank, mengeluarkan pinjaman kepada 286 syarikat shell tanpa niat untuk mendapatkannya semula.

Menurut agensi insurans deposit Rusia, pinjaman palsu berjumlah 23 peratus daripada keseluruhan buku pinjaman bank.

Jejak tipu muslihat sampai ke India

Di India, EEMF dikaitkan dengan beberapa skandal.

Paling terkenal kes pengubahan wang RUPEE134 bilion (RM7.4 bilion) dan penipuan melalui surat penipuan perniagaan yang melibatkan ahli perniagaan Nirav Modi (tidak ada hubungan dengan Perdana Menteri Narendra Modi).

Nirav Modi ialah saudagar barang kemas yang dipaparkan dalam siri dokumentari Netflix, The Bad Boy Billionaires: India, yang memaparkan kehidupannya dalam buangan di London kerana tindakan undang-undang terhadap kegiatan penipuannya.

Agensi antipengubahan wang haram India menemui pemindahan wang daripada EEMF kepada beberapa syarikat keluarga Nirav Modi, lapor Indian Express. Dia sedang merayu perintah ekstradisi terhadap dirinya.

 Secara berasingan, polis Mumbai menjumpai jejak EEMF dalam siasatan ke atas kegagalan Foreign Currency Convertible Bonds (bon boleh tukar mata wang asing) bernilai AS$125 juta (RM393.75 juta) pada 2013.

Hasil siasatan mendapati sekurang-kurangnya AS$82.02 juta (RM343.97 juta) wang yang dikumpulkan telah dilaburkan di EEMF oleh anak syarikat Geodesic, Hong Kong, Geodesic Technology Solutions Limited, pada 2010-2011.

Dalam kertas pertuduhan pada April 2016, polis Mumbai berkata, bekas pengarah Geodesic telah "memperoleh syarikat shell" di wilayah perlindungan cukai dan melaburkan sebahagian daripada hasil bersih bon "melalui EEMF dengan niat untuk menyelewengkan hasil bersih dan menipu pemegang bon.”

EEMF juga dikaitkan dengan siasatan agensi penguatkuasaan antipenyeludupan India, Directorate of Revenue Intelligence, terhadap konglomerat multinasional India dan syarikat pembinaan Essar Group.

Pihak berkuasa mendakwa Essar Global Ltd, syarikat induk perniagaan Essar Group, meletakkan nilai yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya terhadap peralatan elektrik diimport oleh empat syarikat Essar Group.

Invois harga yang melambung untuk peralatan tersebut didakwa dikeluarkan oleh syarikat perantara, Global Supplies (UAE) FZE, yang dimiliki oleh Seppest Holdings yang berpangkalan di Cyprus dan dimiliki oleh EEMF.

Kumpulan Essar menafikan tuduhan menaikkan nilai peralatan modal yang diimport itu.

Sumber mengatakan walaupun nama EEMF muncul pada setiap kes berkenaan, namun agensi penyiasatan India tidak menamakan EEMF sebagai tertuduh dalam kes-kes terbabit.

EEMF dan Cistenique dibubarkan

Sehingga kini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) belum mengatakan apakah tindakan atau siasatan dilakukan terhadap EEMF dan Cistenique atas peranan syarikat terbabit dalam skandal 1MDB.

DOJ enggan mengulas ketika Malaysiakini bertanya apakah ada tindakan yang diambil atau dirancang terhadap kedua-dua syarikat pelaburan tersebut.

Kedua-dua EEMF dan Cistenique dilaporkan dibubarkan pada Julai 2017, tanpa petunjuk jika ada hasil yang dibuat melalui skandal 1MDB dapat diambil kembali.

https://icf.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/b5b46936dd926617d18784b7bee67c56.jpg

Najib pada 27 Julai 2020 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd (SRC).

SRC ialah bekas anak syarikat 1MDB sebelum dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib ketika itu menjadi pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, penasihat emeritus SRC dan juga menteri kewangan.

Dia menafikan pembabitan dan pengetahuan mengenai dana RM42 juta itu dan mengemukakan rayuan atas sabitan kesalahan tersebut.

Dia juga sedang menghadapi perbicaraan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.28 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Pasukan peguambela Najib berpendapat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman bertindak bersama Jho Low dan rakan-rakannya untuk mengelirukan bekas perdana menteri itu.

[Baca laporan asal]