PRN Melaka wajar diadakan, bukan isytihar darurat - Haniff Khatri
Tidak ada keperluan darurat diisytiharkan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) semalam, kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
Sebaliknya, kata Haniff Khatri apa yang diperlukan hanyalah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membolehkan PRN diadakan dengan selamat.
"Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Melaka harus mengadakan pilihan rayanya dalam tempoh 60 hari dan satu-satunya cara untuk menghalang ia berlaku ialah dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Tetapi, saya secara peribadi dan profesional berpendapat bahawa darurat tidak boleh diumumkan hanya untuk menghalang PRN di Melaka.
"Saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengendalikan PRN di Melaka dengan protokol ketat dan pematuhan terhadap SOP yang diperlukan," katanya kepada Malaysiakini.
Haniff Khatri berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan PRN diadakan di Melaka selepas DUN dibubarkan ekoran krisis terbaru yang melanda negeri berkenaan.
Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh, semalam mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada Isnin dan pembubaran itu diwartakan semalam.
Tidak mengatasi undang-undang
Ini berlaku setelah Melaka dilanda kemelut politik apabila empat Adun kerajaan diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.
Idris merupakan Adun Sungai Udang.
Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (bebas-Pengkalan Batu).
Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata banyak penyelesaian dapat dilaksanakan untuk mengekang penyebaran Covid-19, termasuk mengadakan ceramah dalam talian bagi menggantikan aktiviti berkempen secara fizikal.
Katanya, perkara yang sama juga dapat dilakukan ketika hari penamaan calon.
"Semuanya dapat dijalankan dengan adanya teknologi hari ini dan yang paling penting, dengan pematuhan SOP yang ketat," katanya.
Tambah Haniff Khatri dia turut menekankan bahawa kepimpinan parti tidak boleh dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan pilihan raya.
Tambahan pula, katanya, ia merupakan pilihan raya peringkat negeri, bukannya pilihan raya umum (PRU).
"Ahli politik mesti menyedari bahawa mereka tidak boleh mengatasi undang-undang dan masalah nasional yang sedang kita hadapi," katanya.
Menurut Haniff Khatri dia cenderung agar PRN diadakan kerana berpendapat, tanpa pemilihan berkenaan seorang lagi pemimpin dari parti yang sama mungkin menjadi ketua menteri baru dan ia akan membawa kepada salah guna demokrasi.
“Di Melaka, Adun dari parti kerajaan sendiri yang menjatuhkan kerajaan dan apa yang akan kita dapat jika tidak ada PRN? Pemimpin lain dari parti yang sama mungkin akan menjadi ketua menteri.
"Itu salah guna sistem demokrasi yang kita miliki," katanya.
Oleh itu, Haniff Khatri mendesak rakyat menggunakan hak mereka untuk mengenal pasti "pesalah yang tidak seharusnya diberi kekuasaan" dan tidak memilih mereka lagi.
Katanya, ia akan menjadi isyarat kepada negara pada masa depan apabila PRU diadakan.
Untuk rekod DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 pembangkang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai