Pengedar dadah rebah, meninggal semasa ditahan polis
Seorang lelaki tempatan yang dipercayai pengedar dadah meninggal dunia sewaktu polis melakukan tangkapan ke atasnya dalam serbuan di Taman Dato Senu, Sentul, petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata suspek disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan kira-kira jam 5 petang itu selepas rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri.
Azmi berkata suspek rebah selepas polis menyerbu sebuah rumah flat yang dipercayai dihuninya kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan itu.
“Polis menahan suspek berusia 45 tahun itu dan dia bertindak agresif dengan mencapai sebilah sabit bertujuan hendak menyerang pasukan polis ketika cuba untuk menangkapnya.
“Dalam usaha menahan suspek, polis menggunakan kekerasan minimum serta merampas sabit berkenaan. Pada masa sama, polis mendapati suspek secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmi polis turut menjalankan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan dan merampas dadah jenis syabu seberat 51.24 gram dan heroin seberat 1.97 gram.
Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi rampasan dadah tersebut dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi dari Hospital Kuala Lumpur.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai