Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Perkembangan MOU PH-Putrajaya lembab, sengaja dilengahkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Pakatan Harapan (PH) belum berpuas hati dengan perkembangan pembaharuan yang dijanjikan kerajaan selepas mereka menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) baru-baru ini.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata sudah sebulan waktu berlalu sejak MOU berkenaan ditandatangani namun belum ada satu pun komitmen ditunjukkan Putrajaya untuk melaksanakan janji yang dibuat.

Apa yang ada, kata ahli parlimen Port Dickson itu, hanyalah isu kestabilan politik yang diuar-uarkan kerajaan.

"Beberapa langkah lain juga bertentangan dengan semangat demokrasi, transparency (ketelusan) dan semangat untuk bekerjasama seperti disebut oleh perdana menteri," katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Mneteri Mustapa Mohamed membangkitkan isu perlunya kestabilan politik di negara ini bagi memulihkan semula ekonomi, selain menarik pelabur asing.

Anwar yang juga ketua pembangkang bangkit mencelah untuk "membetulkan kenyataan" dibuat Mustapa (PN-Jeli).

"Saya nak jelaskan di sini kepada menteri untuk membetulkan kenyataannya bahawa (MOU) ada kemajuan, meredakan suhu politik yang kami sokong pada awalnya.

"Tetapi saya nak nyatakan pada hari ini, kami tidak berpuas hati (dengan perkembangan MOU tersebut) kerana ia lembab dan sengaja dilengah-lengahkan," katanya.

PH dan kerajaan pusat menandatangani MOU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 Sept lalu sebagai langkah meredakan kemelut politik dalam negara ekoran pelbagai kejadian sesudah Langkah Sheraton.

MOU berkenaan menjanjikan pembaharuan pentadbiran. Antara lain melibatkan pembaharuan parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.