Rosmah menangis ketika perbicaraan rasuah
Rosmah Mansor gagal mengawal perasaan ketika perbicaraan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion, dengan mengatakan pendakwaan terhadapnya adalah pendakwaan terpilih dan berniat jahat.
Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu menangis teresak-esak ketika memberi keterangan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Tertuduh dilihat mengesat mata apabila mendakwa tiga tuduhan rasuah terhadapnya adalah pendakwaan terpilih dan berniat jahat.
Rosmah mempersoalkan mengapa saksi pendakwaan lain seperti menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid dan Rizal Mansor yang mengaku sebagai bekas pegawai khasnya tidak didakwa atas projek yang diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.
Saksi pendakwaan lain yang dipersoalkan Rosmah mengapa tiada tindakan undang-undang diambil terhadap mereka atas dakwaan itu adalah bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamed dan Alias Ahmad, serta bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Dia mendakwa pihak pendakwaan tidak mendakwa saksi-saksi ini, sebaliknya memanggil mereka untuk memberi keterangan dan "menuding jari" terhadapnya, yang tidak memiliki jawatan rasmi dalam kerajaan dan tidak boleh meluluskan projek tersebut.
"Ini adalah satu perbuatan penganiayaan dan keji terhadap saya
"Ini adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution terhadap saya," katanya sebelum menangis teresak-esak di mahkamah.
Tangisan itu menyebabkan peguam bela utama Akberdin Abdul Kader bertanya kepada Rosmah apakah dia baik-baik sahaja dan tertuduh menjawab dia baik-baik saja dan boleh meneruskan keterangan.
Dia juga mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan tidak memanggil sebagai saksi atau mendakwa setiausaha Umno Bahagian Pekan, Aazmey Abu Talib, yang sebelum ini didakwa menerima rasuah untuk membantu Saidi mendapatkan minit yang diberikan Najib ketika itu.
Dikatakan bahawa minit berkenaan memainkan peranan agar Jepak Holdings memperoleh projek tenaga solar hibrid tersebut.
Rosmah, 70, menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan RM187.5 juta dari Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan tenaga solar dan diesel.
Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh menerima suapan RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek tersebut.
Dalam pernyataan pembukaan oleh pasukan peguamnya semalam, Rosmah berpendapat Rizal adalah dalang sebenar di sebalik kes rasuah itu.
Pada 8 Januari tahun lalu, pihak pendakwaan memohon untuk menggugurkan tuduhan terhadap Rizal, sebagai balasan atas keterangannya terhadap Rosmah.
Pada 18 Februari tahun ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk membela diri, setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuat kes prima facie terhadapnya.
Hari ini adalah hari kedua perbicaraan di peringkat pembelaan dan prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka disambung esok pagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai