'Perkahwinan dengan Najib tak bertahan 34 tahun kalau saya jenis mengongkong'
Rosmah Mansor menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa dia memiliki 'sifat suka mengongkong' dan mengatakan perkahwinannya dengan bekas perdana menteri Najib Razak tidak akan bertahan selama 34 tahun jika memiliki sikap demikian.
Semasa perbicaraan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion hari ini, Rosmah berkata terpulang kepada Najib sama ada mahu menerima pandangannya atau tidak - sama seperti mana pasangan suami isteri yang lain.
Merujuk kepada pendapat pihak pendakwaan bahawa dia cuba mempengaruhi Najib yang ketika itu merupakan perdana menteri, Rosmah mendakwa dia tidak pernah mengarahkan suaminya untuk mengikut pandangannya, dan dia juga terbuka terhadap pandangan tersebut.
Rosmah juga merujuk kepada rakaman audio (P36) yang dikemukakan pihak pendakwaan sebelum ini, yang didakwa berkisar mengenai perbualannya dengan Najib.
"Sekiranya ini dikatakan saya sebagai “overbearing nature” dan “ability to influence decisions in the public sector”, sudah pasti perkahwinan saya suami isteri tidak mencapai usia 34 tahun, kalau benar saya adalah “overbearing person” seperti yang cuba disampaikan oleh pihak pendakwaan.
"Walau apapun, perbualan di dalam P36 tersebut adalah sama sekali tidak menyentuh berkenaan projek solar hibrid tersebut," katanya menafikan tuduhan itu sebagai tidak disahkan, tidak benar dan tidak boleh diambil pertimbangan oleh mahkamah.
Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan pada Februari tahun lalu, timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram berpendapat bahawa Rosmah, yang merupakan isteri Najib, tidak memiliki kedudukan rasmi, tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang 'bossy' atau suka mengarah.
Rosmah, 70, menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan RM187.5 juta dari Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan tenaga solar dan diesel.
Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh menerima suapan RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek tersebut.
'Saya tak minta, terima suapan RM6.5 juta'
Sementara itu semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, Rosmah menafikan dia pernah meminta atau menerima rasuah berjumlah RM5 juta dan RM1.5 juta antara 2016 dan 2017.
(Semasa prosiding semalam, dia menafikan mengetahui atau meminta wang sogokan sebanyak RM187.5 juta)
Tertuduh hari ini menafikan telah menerima, melalui Rizal, RM5 juta semasa di Seri Perdana pada 20 Disember 2016 dan RM1.5 juta di kediamannya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017.
Berkenaan dengan RM5 juta itu, Rosmah menafikan keterangan Rizal Mansor (yang didakwa sebagai bekas pegawai khasnya) pernah memberikan wang kepadanya atau memintanya.
"Saya ingin menyatakan di sini dengan suci hati bahawa saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh PW17 (Saksi pendakwaan ke-17, Saidi Abang Samsudin), melalui PW21 (Rizal- saksi pendakwaan ke-21) kepada saya, di dalam dua beg bagasi tersebut pada 20 Disember 2016, di Seri Perdana.
"Ini adalah tuduhan yang sama sekali tidak benar dan mengaibkan saya secara zalim.
"Bukan itu sahaja, tuduhan PW21 yang kononnya dua beg bagasi tersebut telah diserahkannya kepada dua butlers dan kemudiannya diserahkan kepada saya di Seri Perdana, adalah satu fitnah semata-mata," katanya.
Berkaitan dengan wang tunai RM1.5 juta itu, Rosmah menafikan keterangan sebelum ini bahawa Saidi membawa dua beg hitam berjalur oren ke rumahnya, membuka beg tersebut di hadapannya dan mengira wang yang didakwa ada di dalam beg berkenaan.
Rosmah merujuk keterangan saksi pendakwaan ke-16 Rayyan Radzwill Abdullah (rakan perniagaan Saidi ketika itu), yang semasa pemeriksaan balas mengakui bahawa Saidi tidak pernah meletakkan kedua-dua beg di hadapannya atau menyatakan RM1.5 juta yang dimaksudkan adalah untuk projek solar.
"Saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kewujudan dua beg hitam berstripe oren, yang kononnya mengandungi RM1.5 juta dan ia tidak pernah ditunjuk mahupun diterima oleh saya pada 7 Sept 2017, terutamanya berdasarkan keterangan PW17 (saksi pendakwaan ke-17 Saidi).
"PW17 tidak pernah membuka dan mengira kandungan dua beg hitam berstripe oren yang kononnya berjumlah RM1.5 juta," katanya.
Prosiding di hadapan Zaini akan disambung esok pagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai