Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu sudah mula atur langkah hadapi PRN Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meskipun tarikh pilihan raya negeri (PRN) Melaka masih lagi menjadi tanda tanya, namun Bersatu sudah mula menyusun gerak kerja untuk menghadapinya.

Malah, menurut timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu, Bersatu juga bersedia menggerakkan jentera mereka bersama-sama parti kompenan dalam Perikatan Nasional (PN).

Pun begitu Ahmad Faizal juga berharap Bersatu tidak perlu "bertembung" dengan parti yang sebelum ini bekerjasama dengan mereka untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya mengharapkan agar tiada pertembungan di antara rakan-rakan dalam kerajaan kerana ini penting untuk kestabilan kerajaan persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Faizal berkata demikian semasa diminta mengulas persediaan Bersatu ketika Melaka berdepan kemungkinan PRN tidak lama lagi ekoran pembubaran dewan undangan negeri (DUN) semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan mereka sudah menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh, berhubung pembubaran tersebut.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Fasal (4) Perlembagaan Persekutuan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Hadapi dengan penuh istiqamah

Justeru, katanya, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan PRN berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga menteri belia dan sukan berkata dia percaya banyak pihak khususnya rakyat tidak bersetuju PRN Melaka diadakan pada waktu sekarang.

Namun, katanya, jika ia masih dilangsungkan sekali pun, dia mahu keharmonian negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak terjejas.

"Namun, Bersatu dan PN telah bersedia untuk apa juga cabaran yang mendatang dan akan mengharunginya dengan penuh istiqamah," katanya.

Kerajaan Melaka tumbang apabila empat Adun kerajaan yang diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka daripada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Idris adalah Adun Sungai Udang. Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 oleh pembangkang.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya PRN Melaka.

Katanya, SPR perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika penularan Covid-19 akan membahayakan rakyat jika PRN diadakan.

PKR dan DAP juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan mengadakan PRN di Melaka susulan penularan wabak Covid-19.