Skip to main
Logo Malaysiakini

Kertas Pandora: Hassan saran PH keluar dari MOU dengan kerajaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen PKR mencadangkan Pakatan Harapan (PH) keluar dari memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan kecuali Putrajaya bersetuju memenuhi tiga tuntutan.

Tuntutan itu dibuat Hassan Abdul Karim ekoran pendedahan kegiatan menyimpan wang secara rahsia di pusat kewangan luar pesisir seperti di British Virgin Islands (BVI).

Pendedahan itu - yang turut melibatkan ramai tokoh berprofil tinggi di seluruh dunia - dibuat melalui dokumen dikenali sebagai Kertas Pandora.

Kata Hassan parlimen mesti membahaskan usul dibawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, mengenai pendedahan tersebut yang melibatkan wang begitu besar.

Katanya ada tokoh politik dan korporat serta anak dan isteri mereka menyimpan dana berkenaan di BVI serta pusat kewangan luar pesisir lain dengan nilai dianggarkan sehingga RM1.8 trilion dari 2004 hingga 2014.

"Kerajaan juga perlu membentuk segera suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat isu tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah ahli parlimen Pasir Gudang, tuntutan ketiga yang wajar dibuat PH ialah agar Putrajaya segera menggunakan kuasa perundangan bagi merampas dan mengembalikannya kepada kerajaan jika wang terbabit didapati melalui jalan yang menyalahi undang-undang.