Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembentangan RUU MA63 dijadual pada 26 Okt

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menetapkan 26 Oktober untuk mengemukakan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai status Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, RUU itu harus diteliti oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg terlebih dahulu. Sekiranya berjaya, kabinet akan memutuskan pada 22 Oktober. Selepas itu ahli parlimen dapat meneliti rang undang-undang tersebut pada 25 Oktober.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Junaidi mengatakan setakat ini, RUU itu mendapat sokongan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Wan Junaidi, yang merupakan Ahli Parlimen Santubong, mengatakan RUU itu akan memberikan "kejelasan kedudukan Sabah dan Sarawak" dalam persekutuan.

"Selama bertahun-tahun hak Sabah dan Sarawak seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 terhakis. Kita berharap dapat membetulkannya dengan meminda beberapa peruntukan kritikal dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah perjanjian antara Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura.

Pada 2019, pentadbiran Pakatan Harapan membentang Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengembalikan Perkara1 (2) kepada versi 1965 yang berbunyi: "Negeri-negeri Persekutuan adalah - (a) Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan , Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu; dan (b) Sabah dan Sarawak. "

Versi Perkara 1 (2) ketika ini, yang dijadikan undang-undang pada tahun 1976, berbunyi: "Negeri-negeri Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu."

RUU ini, yang memerlukan sokongan dua pertiga Dewan untuk disahkan, dikalahkan kerana hanya 138 ahli parlimen yang menyokong sementara 59 menolak.