Skip to main
Logo Malaysiakini

Zuraida cadang dasar perumahan untuk ladang sawit

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin menafikan tuduhan berlakunya buruh paksa dan menyifatkan dakwaan itu sebagai sebahagian daripada kempen untuk mengenepikan industri minyak sawit Malaysia.

Dia mengakui isu perumahan pekerja tetapi mengatakan ia dihadapi oleh pekebun kecil yang “tidak teratur”.

Jelasnya, kementerian ketika ini sedang mengembangkan "dasar perumahan perladangan" untuk menetapkan piawai minimum.

Dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) malam ini, Zuraida mempertikaikan dakwaan bahawa industri minyak sawit Malaysia penuh dengan pelanggaran undang-undang buruh.

"Jadi kita lihat ini perkara yang seolah-olah disengaja ditimbulkan oleh kerana persaingan pasaran sahaja. Bukan perkara yang sebenar," katanya.

Ditanya oleh Wong Chen (PH-Subang) apakah kementerian berencana untuk memberi insentif kepada perusahaan sawit untuk meningkatkan tempat tinggal pekerja, Zuraida mengatakan "pemain besar" bukanlah sumber masalah.

"Jadi mungkin, mungkin kita bercakap mengenai pekebun kecil di mana mereka tidak betul-betul teratur.

“Jadi ini adalah pendekatan lain oleh kementerian mengumpulkan mereka dan menguruskannya dalam kelompok agar lebih efektif, lebih teratur dan lebih tersusun. Kita ingin memformalkan mereka," katanya.

Zuraida menyatakan bahawa peraturan sedia ada sudah mewajibkan ladang untuk memiliki tempat tinggal yang sesuai sebelum mereka dapat mengambil pekerja.

Justeru, dia mengumumkan bahawa kementeriannya akan segera membuat dasar perumahan perladangan.

“Sudah saatnya kementerian mengembangkan dasar perumahan perladangan.

"Oleh kerana saya pernah berkhidamat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini, oleh itu sekarang saya menerapkan dasar perumahan di ladang dan kebun.

"Ia akan lebih teratur dan sekurang-kurangnya ada piawai yang harus kita patuhi," katanya.

Zuraida sebelum ini berkhidmat sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dari Mei 2018 hingga Ogos 2021.

[Baca berita penuh]