Polis siasat klip video penceramah bebas didakwa hina agama, kaum
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap klip video tular mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata video berdurasi satu minit berkenaan mula tersebar di beberapa aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.
“Justeru siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan dan pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai