Skip to main
Logo Malaysiakini

10 individu dari KL ditahan 'pesta dadah' di Langkawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan 10 lelaki dari Kuala Lumpur 'berpesta dadah' di Pulau Langkawi membawa padah apabila kegiatan mereka diserbu pihak polis di sebuah bilik hotel, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan Balai Polis Padang Mat Sirat.

Menurutnya, serbuan mendapati 10 lelaki berusia antara 23 hingga 33 tahun sedang berkumpul dalam sebuah hotel di Pantai Tengah.

"Seterusnya pihak polis jalankan pemeriksaan tubuh badan kesemua suspek dan kawasan dalam bilik tersebut menjumpai lapan peket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.20 gram dan dua botol dipercayai ubat batuk 200ml.

"Kesemua mereka ditahan dan barang kes dirampas untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya kesemua suspek dari Kuala Lumpur dan datang bercuti ke pusat peranginan tersebut.

Shariman berkata, ujian air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ketamin, manakala empat lagi negatif.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Selain itu suspek juga dikenakan kompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard kerana berkumpul di bilik hotel yang sama dan aktiviti yang menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial," katanya.