Skip to main
Logo Malaysiakini

SUK: Perkhidmatan awam Melaka berfungsi seperti biasa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perkhidmatan awam di Melaka berfungsi seperti biasa dalam menyampaikan dasar kerajaan dan memberi khidmat berkualiti kepada rakyat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad berkata penjawat awam negeri dan Persekutuan kekal komited mendukung tugas dan ikrar penjawat awam terutama bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Penjawat awam akan terus berkhidmat bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat terutamanya program vaksinasi dalam kalangan rakyat negeri ini selain aktiviti ekonomi tidak terjejas disebabkan kemelut politik yang sedang berlaku," katanya kepada pemberita di Alor Gajah hari ini.

Terdahulu, beliau melawat proses vaksinasi Covid-19 kepada 90 remaja Orang Asli suku Temuan pada program ‘outreach’ vaksinasi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Melaka di Kampung Solok Bukit Putus, Tebong di Alor gajah.

Dalam pada itu, Kamel berkata Melaka dijangka mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap menerima vaksin Covid-19 pada hari ini atau esok, dengan 89.51 peratus telah lengkap menerima vaksin setakat pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin Umno hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

- Bernama