Tanya saksi pendakwaan mengapa mereka berbohong - Rosmah
Rosmah Mansor memberi tahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa hanya saksi pendakwaan yang tahu mengapa mereka berbohong dan memberi keterangan palsu terhadapnya dalam kes rasuah projek solar.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak berkata demikian apabila setiap kali timbalan pendakwa raya utama Gopal Sri Ram mengasaknya berhubung dakwaan bahawa saksi-saksi itu bersekongkol dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyalahkannya.
Semalam, Rosmah, 69, menangis semasa perbicaraan dan mendakwa bahawa kes terhadapnya adalah pendakwaan terpilih dan berniat jahat.
Dia juga mempersoalkan mengapa saksi pendakwaan tertentu - seperti menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid, bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamed dan Alias Ahmad; bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin; dan Rizal Mansor (yang kemudiannya dinafikannya sebagai pegawai khasnya) - tidak dikenakan sebarang pertuduhan berkaitan dengan projek yang diberikan kepada Jepak Holdings.
Rosmah mendakwa bahawa pihak pendakwaan daripada mendakwa saksi-saksi berkenaan, membawa mereka untuk memberi keterangan dan "menuding jari" terhadapnya, yang tidak memiliki sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan dan kuasa untuk meluluskan projek itu.
Semasa pemeriksaan balas terhadap Rosmah hari ini, Sri Ram mengajukan beberapa soalan mengapa saksi-saksi berkenaan sanggup berbohong.
Setiap kali, Rosmah akan menjawab "Itu kamu kena tanya kepadanya".
Namun, semasa asakan oleh Sri Ram, dia mengakui bahawa dia tidak pernah bertengkar atau mempunyai masalah dengan mereka sebelum ini.
Sri Ram: Mengapa Mahdzir berbohong?
Rosmah: Itu kamu mesti tanya dia?
Sri Ram: Mengapa Madinah membuat cerita sedemikian?
Rosmah: Itu kamu kena tanya kepadanya.
Sri Ram: Boleh kamu beri sebarang alasan?
Rosmah: Tidak.
Dia juga menolak beberapa cadangan Sri Ram, seperti modus operandi adalah supaya Rizal mendapatkan wang suapan daripada Saidi.
Namun, dia bersetuju dengan cadangan TPP itu bahawa dia membantu mengesyorkan agar Rizal diberi anugerah gelaran Datuk.
Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai