Individu didakwa penasihat media Najib mahu saman fitnah Syed Saddiq
Individu yang dikatakan penasihat media kepada bekas perdana menteri Najib Razak akan memfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung tuduhan wujud konspirasi untuk melemahkan Bersatu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Habibul Rahman Kadir Shah berpendapat anggota parlimen Muar itu enggan mematuhi surat tuntutan agar dia memohon maaf dan menawarkan bayaran ganti rugi atas tuduhan tersebut.
Pada 17 September, Habibul mengeluarkan surat tuntutan berhubung kenyataan yang didakwa dibuat oleh Syed Saddiq semasa sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2017.
"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap YB Syed Saddiq," kata Habibul dalam kenyataan medianya.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Syed Saddiq, Beatrice Chin mengesahkan dia telah menulis surat kepada peguam Habibul dua hari lalu, untuk memaklumkan keengganan ahli parlimen tersebut mematuhi tuntutan dalam surat tuntutan berkenaan.
Semasa taklimat media pada 2 Oktober 2017, Syed Saddiq mengumumkan bahawa dia menolak biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang dasar awam di Universiti Oxford, England kerana mahu terlibat dalam kegiatan politik.
Dia juga mendakwa ada sebab sidang media itu diadakan di hotel yang dikaitkan dengan Umno dan mendakwa ada konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti itu yang tidak disebutkan namanya untuk melemahkan Bersatu dengan "mengugut atau merasuah" pemimpinnya.
Nama Habibul disebut semasa perbicaraan rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta terhadap Najib pada tahun 2008.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai