Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian Covid-19: K'jaan sekalikan 'lain-lain' dengan bukan warganegara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawapan bertulis parlimen mengenai pecahan kematian akibat Covid-19 mengikut kaum telah memasukkan sekali rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai 'lain-lain' bersama dengan bukan warganegara.

Dalam jawapan bertulis Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Ong Kian Ming (Pakatan Harapan-Bangi), ia mengatakan bahawa daripada 471 "warganegara Malaysia" yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada tahun 2020, seramai 273 orang (57.96 peratus) merupakan "lain-lain".

Sebanyak 127 lagi (26.96 peratus) kematian tahun lalu terdiri daripada Melayu, Cina 56 (11.9 peratus); dan India 15 (3.18 peratus).

Sementara itu, dari 1 Januari hingga 3 Oktober 2021, seramai 12,765 (48.7 peratus) daripda 26,212 kematian yang dilaporkan akibat Covid-19 adalah 'lain-lain'.

Sebanyak 8,886 kematian (33.9 peratus) yang dilaporkan adalah orang Melayu, Cina 2,815 (10.73 peratus); dan India 1,746 (6.67 peratus).

"Lain-lain" adalah istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada rakyat Malaysia yang bukan Melayu, Cina, atau India.

Namun, semakan oleh Malaysiakini terhadap data KKM di laman Github mendapati dalam jawapan bertulis Kementerian Kesihatan, "lain-lain" juga termasuk bukan warganegara.

Hasil semakan menunjukkan pada tahun 2020 sebanyak 77 (16.34 peratus) bukan warganegara meninggal dunia, yang bermaksud bahawa jumlah kematian akibat Covid-19 melibatkan kategori "lain-lain" adalah hanya 196 orang (41.61 peratus).

Data juga menunjukkan dari 1 Januari hingga 3 Oktober, jumlah bukan warganegara yang meninggal dunia adalah 3,470 (13.23 peratus), yang bermaksud bahawa kematian rakyat Malaysia yang "lain-lain" adalah 9,295 orang (35.46 peratus).