Editor dari 3 negara bincang isu kebebasan media
Tiga editor media terkemuka dari Malaysia, Indonesia dan Filipina akan menyertai forum dalam talian bagi membincangkan pengalaman mereka dalam menegakkan prinsip kewartawanan bebas ketika mengendalikan syarikat media masing-masing.
Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan akan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tempo Media, Arif Zulkifli dan pengasas bersama portal dalam talian Rappler, Maria Ressa dalam forum dalam talian yang bermula jam 4 petang esok.
Dimudahcara oleh pengasas The Fourth yang juga wartawan pemenang anugerah, Ian Yee, forum bertajuk "Press in Distress: Will Independent Journalism Survive in South East Asia" itu dianjurkan oleh Freedom Film Network (FFN) Malaysia, dengan kerjasama kumpulan-kumpulan lain dari Malaysia, Indonesia dan Filipina yang mendukung kebebasan bersuara dan media bebas.
Antara topik yang akan dibincangkan termasuk peranan wartawan, pemilik media, pengguna dan penggubal undang-undang dalam menegakkan kebebasan media dan peranan akhbar bebas dalam negara demokrasi.
Perbincangan itu akan disusuli tayangan eksklusif dalam talian selama tiga hari bertajuk "A Thousand Cuts" - sebuah dokumentari mengenai perjuangan Ressa dan Rappler dalam menentang Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sejak pemilihannya pada 2016.
Terbuka kepada pengamal media, pembuat filem bebas, pelajar dan lain-lain yang berminat dalam isu kebebasan media, tiket untuk tayangan dan forum dalam talian masih boleh diperolehi di sini.
Pendedahan Rappler mengenai 'perang' Duterte melawan dadah di negara itu menyaksikan banyak penahanan dan tuduhan dibuat terhadap Ressa, dan serangan yang disasarkan juga menyebabkan pasukan editorialnya terdedah dalam bahaya.
"Ketika saya ditangkap pada Februari 2019, itu adalah sesuatu yang tak dapat saya bayangkan. Saya tidak menyangka mereka begitu biadab. Tetapi begitulah mereka," kata Ressa.
"Filem ini membantu kita membayangkan apa yang boleh berlaku kepada demokrasi jika kita tidak bertindak sekarang," katanya yang dinamakan sebagai Person of The Year dalam majalah Time pada 2018.
Sementara itu, dengan lebih banyak portal dalam talian kini menggunakan model langganan, Gan berkata, "Media bebas memerlukan pembiayaan bebas."
"Ia memerlukan sokongan mereka yang diberikan perkhidmatan itu. Anda," kata pengasas bersama Malaysiakini itu.
Di Indonesia, sejarah Tempo yang diharamkan selama empat tahun pada zaman Soeharto akhirnya menyaksikan kumpulan media itu berkembang dari majalah cetak dan akhbar ke dalam talian.
Arif juga mengingatkan bahawa kebebasan media tidak mudah diperoleh.
"Ia dilahirkan, dibesarkan dan dipelihara oleh wartawan bebas, pemilik media yang tidak hanya memikirkan keuntungan, pemerintah yang memerlukan kritikan dan orang ramai yang bergantung kepada maklumat yang tepat dan boleh dipercayai.
"Sekiranya sekurang-kurangnya satu daripada empat ini tiada, kebebasan media akan berada dalam bahaya serius," katanya.
Selain FFN, acara-acara ini juga dianjurkan bersama oleh Center for Independent Journalism dan Geramm di Malaysia, di samping Aliansi Jurnalis Independen dari Indonesia, dan Dakila, Active Vista serta Rappler dari Filipina.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai