Skip to main
Logo Malaysiakini

Maika bantu pemegang saham yang masih ada melalui proses pengesahan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Maika Holdings Bhd sedang melakukan proses pengesahan sukarela untuk pemegang saham yang masih ada dari 27 September hingga 15 Okt, dan berusaha menghubungi baki tiga peratus pemegang saham yang gagal menyerahkan saham mereka ketika G Team Resources memperoleh 97 peratus saham syarikat itu.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa di sebalik pelaksanaan tersebut (yang digambarkan sebagai "tawaran terbuka" untuk membantu pemegang saham Maika menebus saham mereka), hanya 60 individu yang telah melakukan pengesahan setakat ini.

Setelah proses pengesahan, wang daripada pengambilalihan oleh G Team Resources akan diletakkan di bawah dana Amanah Rakyat.

Berdasarkan saman sivil yang difailkan pada tahun 2019, dipercayai bahawa syarikat pelaburan itu mempunyai 66,400 pemegang saham.

Malaysiakini difahamkan Maika telah menghentikan seketika proses likuidasinya tahun lalu berikutan bermulanya wabak Covid-19 tahun lalu, namun mula menyambungnya bulan lalu.

Bagi proses pengesahan itu, pemegang saham Maika Holdings Bhd mesti menunjukkan sijil pemegang saham asal.

Pada awal 1980-an, Maika Holdings dibentuk oleh MIC sebagai syarikat pelaburan yang mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya dari kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur. Akibatnya, mereka yang telah mengambil pinjaman atau menjual aset mereka untuk melabur terabai selama bertahun-tahun.

Pada 2010, taikun G Gnanalingam membeli saham daripada pelabur pada nilai hampir sama melalui G Team Resources.

Pada tahun 2019, tiga pemegang saham Maika Holdings Bhd milik MIC memfailkan saman sivil dengan mendakwa RM144 juta, yang sepatutnya diagihkan kepada ribuan pemegang saham, lesap.

G Team Resources enggan menjawab permintaan Malaysiakini untuk memberikan komen.