Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan pelajar UM persoal lantikan ahli lembaga pengarah terbaru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertikaikan pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai ahli lembaga pengarah universiti berkenaan.

Kesatuan itu mempersoalkan kelayakan Danesh serta kriteria yang diguna pakai universiti untuk pelantikan berkenaan.

“Walaupun Danesh merupakan seorang ahli Felo Perdana dan pembantu felo di kolej kediaman, adakah kita kekurangan calon yang lebih kompeten untuk memikul peranan tersebut, khasnya setelah mempertimbangkan faktor-faktor seperti meritokrasi akademik, pengalaman industri, keseimbangan gender, pengantarabangsaan dan faktor-faktor lain,” soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Meskipun mengalu-alukan pelantikan pemimpin muda dalam lembaga itu, KMUM mempertikaikan penglibatan politik Danesh, sedangkan katanya, universiti harus bebas daripada pengaruh dan cengkaman politik.

“Perbincangan dan diskusi berkait politik boleh dilakukan bahkan diraikan atas nama kebebasan akademik untuk membudayakan pemikiran matang di kalangan mahasiswa, tetapi pelantikan politik bagi posisi penting yang mampu mempengaruhi operasi harian institusi pengajian tinggi seharusnya disangkal,” katanya.

KMUM turut mempersoalkan mengapa bukan seseorang daripada latar belakang korporat, perundangan atau warganegara lain yang dilantik.

“Sehingga semua persoalan ini terjawab, kami menyatakan ketidakyakinan kami terhadap pengalaman dan/atau kemampuan beliau yang diperlukan untuk menyumbang kepada universiti dan warganya secara keseluruhan, terutamanya para mahasiswa,” katanya.

Universiti Malaya (UM) mengumumkan pelantikan Danesh pada Isnin (4 Okt) selama tiga tahun untuk penggal yang akan tamat pada 3 Okt 2024.

Danesh merupakan ahli termuda daripada 10 ahli lembaga pengarah universiti itu.

Lelaki 26 tahun itu mempunyai ijazah sarjana muda seni persembahan daripada UM.

Berdasarkan hantaran media sosial Danesh, dia merupakan ahli Parlimen Belia yang merupakan inisiatif bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Sebelum ini, dia berkhidmat sebagai pegawai kepada Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Terdahulu minggu ini, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mempertahankan lantikan Danesh dan berkata ia dibuat mengikut saluran betul, berdasarkan penglibatannya dalam program dan aktiviti pelajar dan aktiviti alumni.

Ia juga sebagai satu bentuk penghargaan kepada orang muda dan memberi peluang untuk menyumbang input kepada UM daripada kaca mata alumni universiti sendiri, katanya lagi di Dewan Rakyat.