Skip to main
Logo Malaysiakini

MP persoal 'hutang Mitra': Kepada siapa, berapa banyak, sampai bila?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen pembangkang mencadangkan parlimen mengadakan sesi taklimat setelah keliru dengan jawapan Menteri Perpaduan Halimah Mohamed Sadique berhubung dana Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata ini selepas menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa dana Mitra telah berkurangan selepas membayar hutang terdahulu.

"Saya mencadangkan supaya satu sesi taklimat diadakan dengan segera di parlimen untuk menjelaskan semua persoalan-persoalan yang dibangkitkan mengenai ‘hutang’ yang diwarisi terpaksa ditanggung oleh Mitra.

"Ini supaya menteri dan pihak pentadbiran Mitra memberi penjelasan yang terperinci mengenai ‘hutang’ yang dimaksudkan. Ini adalah penting kerana dalam tahun 2020 dan 2021 hanya RM114.1 juta daripada RM200 juta digunakan sebagai perbelanjaan baru bagi tujuan pembangunan sosio-ekonomi kaum India.

"Baki, RM85.9 juta telah digunakan untuk membayar hutang terdahulu. ‘Hutang apa, kepada siapa, berapa banyak, sampai bila?’ Ini adalah satu jumlah yang cukup besar.

"Banyak perkara perlu dijelaskan kepada rakyat. Saya tidak mahu rakyat melihat Mitra sebagai satu drama misteri yang tidak berkesudahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini susulan jawapan Halimah semalam bahawa pada tahun 2020, Mitra hanya mempunyai dana sebanyak RM65 juta untuk dibelanjakan.

Menurutnya, RM35 juta lagi telah digunakan untuk membayar hutang yang diwarisi daripada tahun sebelumnya.

Pada tahun ini pula, Mitra hanya mempunyai dana sebanyak RM49.1 juta untuk dibelanjakan setelah RM50.9 juta telah digunakan untuk membayar hutang program-program sebelum beliau menjadi menteri perpaduan dan mengambil alih Mitra.

Mitra yang sebelum ini dikenali sebagai Sedic merupakan sebuah unit ditubuhkan ketika pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Unit ini bawah pengawasan Pejabat Perdana Menteri menerima RM100 juta setiap tahun bagi membantu kaum India di Malaysia.

Ketika pentadbiran era PH, unit ini ditukar nama sebagai Mitra dikendalikan seorang menteri dari Jabatan Perdana Menteri sebelum diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan ketika pemerintahan PN.