Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes lucut hak hampir RM16 juta libat keluarga Azeez didengar 3 Jan 2022

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendengaran kes saman kerajaan terhadap keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan syarikat mereka bagi melucut hak hampir RM16 juta, ditetapkan pada 3 Jan tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes, hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi dan peguam S K Shaarvin Raaj bertindak bagi pihak keluarga Abdul Azeez.

Dalam saman difailkan pada September 2019 itu, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selesai.

Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan itu bagaimanapun, ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.

- Bernama