Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelantikan Danesh cetus polemik tentang 'kabel politik'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelantikan baru untuk menganggotai Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) yang dilihat mempunyai kaitan politik mencetuskan perdebatan dalam kalangan beberapa personaliti di Twitter hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PKR Fahmi Zainol, awalnya mengkritik pemilihan pegawai khas ahli parlimen Pengerang, Danesh Raj Nagarajan, 26, untuk menjadi anggota lembaga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikenali ramai itu.

Sebagai bekas pelajar di UM, kata Fahmi, dia turut berasa kecewa dengan pemilihan Danesh itu.

"Rupanya ada kabel besar. Hidup mau ada kabel besar baru boleh berjaya di Malaysia ni," katanya secara sinis di Twitter semalam.

Ciapan itu mengundang reaksi pengguna lain seperti @ReezaAbdullah yang menganggap Fahmi - yang pernah menjadi aktivis pelajar UM suatu ketika dulu - juga pernah bergantung kepada 'kabel' tertentu.

Dia turut memaparkan sepucuk dari pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2015 yang memberikan peruntukan khas sebanyak RM11,000 kepada Fahmi.

Digantung dua semester

Untuk rekod ketua menteri ketika itu ialah Lim Guan Eng.

"Tak payah kecewa sangat brother. Awak biasiswa belajar pun guna kabel ke?" kata pengguna Twitter berkenaan.

Bagaimanapun Fahmi menafikan dia mendapat bantuan tersebut melalui 'kabel' sebaliknya bantuan daripada kerajaan Pulau Pinang selepas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditamatkan ketika dia masih belajar di UM.

Kata Fahmi dia tidak ada sebarang hubungan dengan Lim ketika itu, malah tidak meminta peruntukan tersebut.

Menjelaskan kedudukannya dalam PKR, Fahmi berkata, dia menyertai politik dan menganggotai parti berkenaan selepas menamatkan pengajian di UM.

Katanya, biasiswa JPA itu ditamatkan pada 2015 selepas pentadbiran UM mengambil tindakan disiplin ke atasnya ekoran terbabit membawa Presiden PKR Anwar Ibrahim ke IPTA berkenaan untuk berucap.

Fahmi Zainol

"Ketika itu (Nov 2014) saya dikenakan sembilan tuduhan bersama beberapa pelajar lain dan saya digantung pengajian selama dua semester," katanya.

Pada 2015 kata Fahmi dia dimaklumkan bahawa biasiswa berkenaan - bernilai RM11,000 untuk tahun akhir pengajiannya - ditarik balik kerana didapati melanggar peraturan universiti.

Fahmi kemudian membuat rajutan mengenai latar belakang ahli Lembaga Pengarah UM yang lain bagi menunjukkan perbezaan di antara mereka dengan Danesh.

"Saya hanya menyuarakan pandangan, ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Untuk rekod ahli parlimen Pengerang ialah Azalina Othman Said yang pernah berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas ketua pertama Puteri Umno.

Dia kini dilantik menjadi penasihat khas perdana menteri.

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata pelantikan Danesh dibuat melalui saluran yang betul iaitu bagi mewakili komposisi alumni IPTA berkenaan.

Kata Noraini Danesh dinilai berdasarkan penglibatan aktifnya dalam program dan aktiviti pelajar sepanjang masa bergelar mahasiswa.

“... sehingga kini, Danesh masih menyumbang kepada aktiviti alumni.

"Pelantikannya adalah sebagai penghargaan kepada orang muda di samping memberi peluang untuk menyumbang input kepada UM daripada kaca mata alumni itu sendiri," katanya yang juga bekas ketua Puteri Umno.