Skip to main
Logo Malaysiakini

Bantuan rakyat diselaraskan bawah satu jentera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Skuad Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berfungsi untuk menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat memerlukan di seluruh negara, di bawah satu jentera.

Ismail Sabri berkata Skuad Keluarga Malaysia akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.

“Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri di Kuala Lumpur, yang turut disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata setiap kementerian dan agensi sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.

- Bernama