Skip to main
Logo Malaysiakini

78 lagi kematian dilaporkan akibat Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melalui laman Github melaporkan sebanyak 78 kematian Covid-19 semalam (8 Okt), menjadikan jumlah kematian terkumpul sebanyak 27,191.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 29.5 peratus atau 23 orang meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Malaysia adalah negara yang mencatat prestasi terburuk di Asia dalam jumlah kematian Covid-19 per kapita.

Johor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu sebanyak 13 orang, yang merupakan 16.7 peratus daripada kematian yang baru dilaporkan.

Selain itu Sabah mencatatkan 12 kematian, Selangor (12), Pulau Pinang (10), Kelantan (8), Sarawak (8), Kedah (4), Perak (4), Perlis (2), Kuala Lumpur (2) , Melaka (1), Negeri Sembilan (1) dan Pahang (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 65 daripada 78 kematian yang dilaporkan, atau 83.3 peratus, berlaku dalam tujuh hari lalu.

Kes kematian selebihnya berlaku lebih seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 268 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 105 kes, menunjukkan arah aliran menurun.

Sehingga semalam, terdapat 125,998 kes Covid-19 yang masih aktif. Ini adalah pengurangan 21.5 peratus daripada 160,413 jangkitan aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari yang lalu, jumlah kes aktif menurun hampir 50 peratus daripada 248,675 kes.