Skip to main
Logo Malaysiakini

8,743 kes baru, pecahan mengikut negeri dikeluarkan lewat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan sebanyak 8,743 kes baru Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlah jangkitan terkumpul sebanyak 2,332,221 kes.

Tidak seperti kebiasaan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak menyatakan jumlah jangkitan harian mengikut negeri.

Sebaliknya Noor Hisham berkata, maklumat terperinci mengenai kes harian Covid-19 akan dimuat naik ke laman web milik Kementerian Kesihatan, CovidNow.

Laman web itu biasanya hanya mengemas kini data jangkitan Covid-19 pada tengah malam.

Setakat berita ini ditulis, kes harian baru mengikut negeri belum dipaparkan pada laman web berkenaan.

Pecahan kes berdasarkan negeri juga tidak dinyatakan dalam kenyataan media harian Noor Hisham.

Noor Hisham menjelaskan bahawa memandangkan negara sedang menuju fasa endemik, kaedah pelaporan dan pemecahan data akan lebih menumpukan pada petunjuk penting dan utama saja.

Sementara itu, jumlah pesakit pulih mengatasi kes baru hari ini.

Pesakit di ICU: 770
Memerlukan bantuan pernafasan: 419

R-naught seluruh negara kini 0.86 yang menunjukkan bahawa penyebaran Covid-19 sedang menurun.

Bagaimanapun, Putrajaya, Perlis, dan Negeri Sembilan mempunyai R-naught di atas 1.0, menunjukkan bahawa penularan semakin pantas di kawasan itu.

Kluster

Setakat hari ini, 845 kluster Covid-19 masih aktif, termasuk 10 kluster baru yang dilaporkan hari ini.

Kluster yang sedang berlangsung telah menurun sebanyak 19.1 peratus daripada 1,044 kluster aktif seminggu yang lalu.

Sepuluh kluster baru hari ini merangkumi empat kluster tempat kerja (40.0 peratus), empat kluster komuniti (40.0 peratus) dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi (20.0 peratus).