Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejuang gesa darurat di Melaka, SUK terajui k'jaan sementara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pejuang mendesak kerajaan mengisytiharkan darurat setempat di Melaka untuk mengelakkan pilihan raya sehingga situasi Covid-19 benar-benar terkawal.

Presidennya Mukhriz Mahathir berkata kerajaan Melaka boleh dipimpin sementara itu oleh setiausaha kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun perolehan mandat baharu daripada rakyat melalui pilihan raya negeri dianggap penting, namun yang lebih utama "nyawa rakyat yang mungkin terancam jika jangkitan Covid-19 menjadi tidak terkawal seperti yang berlaku pada Pilihan raya Negeri Sabah."

"Satu nyawa sekalipun terlalu berharga untuk dikorbankan bagi mengatasi kemelut politik dalaman Umno yang telah mencetuskan keadaan kucar-kacir di Melaka kini.

"Keselamatan dan kepentingan rakyat tidak boleh sama sekali dijadikan taruhan dalam caturan politik dan rebutan kuasa," katanya pada satu kenyataan hari ini..

Melaka dijadual mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh 4 Oktober selepas dewan undangan negeri dibubarkan.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang merupakan Pemangku Agong pada masa ini, sedang diberi taklimat mengenai sekiranya terdapat keperluan untuk darurat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kabinet akan mempertimbangkan minggu depan mengenai sama ada mahu menasihati Pemangku Agong mengenai pengisytiharan darurat.

Mukhriz berkata kebanyakan orang Malaka menentang pilihan raya negeri ketika mereka baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.