Skip to main
Logo Malaysiakini

74 kematian dilaporkan, terendah sejak 2 Julai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan sejumlah 74 kematian Covid-19 semalam (9 Okt), menjadikan jumlah kematian terkumpul adalah sebanyak 27,265.

Ini adalah jumlah kematian paling rendah dalam tempoh 97 hari. Pada 2 Julai lalu, sebanyak 73 kematian direkodkan.

Daripada jumlah kematian baru yang dilaporkan semalam, 36.5 peratus atau 27 orang meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu seramai 22 orang atau bersamaan 29.7 peratus daripada kematian yang baru dilaporkan.

Sarawak merekodkan 14 kematian diikuti Sabah (11), Johor (10), Kelantan (5), Perak (4), Melaka (2), Kuala Lumpur (2), Kedah (1), Negeri Sembilan (1 ), Perlis (1) dan Terengganu (1).

Tidak ada kematian baru dilaporkan di Pahang, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 59 daripada 74 kematian atau 79.7 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kematian lain berlaku lebih daripada seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 259 kematian akibat  Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 100 kes, yang menunjukkan aliran menurun.

Setakat semalam, terdapat 120,246 kes Covid-19 yang masih aktif. Ini adalah pengurangan 22.8 peratus daripada 155,824 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari yang lalu, jumlah kes aktif menurun sebanyak 50.5 peratus daripada 242,806 kes.

Kemas kini oleh Kementerian Kesihatan selepas tengah malam tadi juga memperincikan kes Covid-19 baru semalam.

Daripada 8,743 kes baru, sejumlah 621 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 yang masih ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 271 kes (43.6 peratus) merupakan penularan komuniti, manakala 203 kes (32.7 peratus) adalah daripada kluster tempat kerja.

Sebanyak 105 kes lagi (16.9 peratus) berasal dari kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua.

Kes-kes selebihnya dikesan daripada kluster yang berkaitan dengan institusi pendidikan (42 kes - 6.8 peratus).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada sebelah petang, namun pendekatan ini telah diubah.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci. Malaysiakini melaporkannya pada sebelah pagi keesokannya.