Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco kesihatan S'gor tak setuju wajibkan vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata dia tidak bersetuju dengan langkah mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19, meskipun dia sendiri menyokong kempen vaksinasi.

"Saya sokong vaksinasi dan agar semua mengambil vaksin tetapi saya menentang langkah mewajibkannya secara langsung atau tidak langsung, terutama seperti memberhentikan kerja mereka," katanya dalam catatan di Twitter hari ini.

Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 September lalu mengeluarkan arahan mewajibkan semua penjawat awam untuk mengambil vaksin Covid-19 sebelum 1 November depan.

JPA memaklumkan kegagalan mana-mana penjawat awam untuk berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib.

Kata JPA lagi, arahan itu dikeluarkan bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Langkah itu sebelum ini turut disokong oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata penjawat awam selaku jentera pentadbiran yang melaksanakan segala dasar dan polisi kerajaan harus menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan.

"Tindakan yang mahu diambil kerajaan ketika ini bukanlah bertindak untuk menghukum kerana pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin telah dilakukan bagi memastikan negara berjaya keluar daripada pandemik Covid-19.

"Kita hendaklah melindungi diri sebelum kita mahu melindungi orang lain dan dalam masa yang sama kita wajib memastikan persekitaran pekerjaan selamat dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.