Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat penerbangan tawar diskaun susulan kebenaran rentas negeri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syarikat-syarikat penerbangan dalam negara mula menawarkan potongan harga untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan mereka selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula hari ini.

Malaysia Airlines menawarkan tambang serendah RM59 sehala dan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej MHholiday, sementara syarikat penerbangan tambang murah

AirAsia menawarkan tiket sehala kepada pelancong dengan harga serendah RM12.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines, Izaham Ismail berkata, kebenaran perjalanan rentas negeri akan memberi perkembangan baru terhadap industri tersebut.

"Kami menerima tempahan awal yang memberangsangkan, mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan yang tinggi untuk terbang bersama Malaysia Airlines.

"Kami dengan sukacita melaporkan bahawa Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan 500 peratus dalam tempahan penerbangan kami di dalam negeri, tempahan tertinggi setelah pembukaan semula Langkawi," katanya kepada Bernama semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat juga senada dengan Izaham yang menyambut baik kebenaran merentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Katanya, kerajaan berhak mendapat penghargaan terbesar atas keberkesanan program vaksinasi kebangsaan yang kini menyaksikan kadar peratusan yang selamat untuk rentas negeri dilakukan.

"AirAsia akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan untuk memastikan prosedur pematuhan dijalankan untuk setiap penerbangan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain, rentas negeri, Ismail Sabri juga mengumumkan kebenaran untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk aktiviti pelancongan tanpa melalui permohonan MyTravelPass dari Jabatan Imigresen, dengan syarat tertentu.