Skip to main
Logo Malaysiakini

YB kini boleh berbaju batik ke Parlimen setiap Khamis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Ahli Parlimen kini boleh berbaju batik Malaysia berlengan panjang untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat pada setiap Khamis.

Ini susulan usul yang dibentangkan oleh Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini.

"Cadangan ketiga adalah jawatankuasa Dewn Rakyat bersetuju untuk membenarkan Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat memakai baju batik lengan panjang ketika menghadiri persidangan pada setiap hari Khamis.

"Ini adalah cadangan dari Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Nancy Shukri) kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mendukung warisan negara.

“Pemakaian baju batik (di Parlimen pada setiap Khamis) ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Sabtubong turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).

“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” katanya.

Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.

Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.

[Baca berita penuh]