Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Pemeriksaan mengejut buru individu belum vaksin rentas negeri’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis akan membuat pemeriksaan secara mengejut dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin atau belum lengkap divaksin, tidak mengambil kesempatan merentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu oleh kerajaan bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Hazani Ghazali berkata, individu yang engkar arahan itu akan dikenakan kompaun dan tiada lagi amaran akan diberikan.

"Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.

"Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.

"Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras. Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu," katanya yang dipetik portal Berita Harian.

Menurut Hazani, tindakan tegas itu akan diambil menerusi pemeriksaan pasukan pemantau di lokasi tumpuan orang ramai seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Selain itu, katanya, polis juga akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pemeriksaan secara rawak akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan SOP orang awam mengikut undang-undang sedia ada.

"Kita sedia maklum tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP," katanya lagi yang dipetik portal itu.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, biarpun kerajaan memberi kebenaran untuk rentas negeri, ia tidak bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.