Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Bangi positif Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, yang berada di Parlimen petang tadi, diuji positif Covid-19.

Ong berkata, kit ujian kendirinya menunjukkan keputusan positif dan ia kemudian disahkan dengan ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Saya diuji negatif pada hari Rabu lalu di Parlimen. Tidak pasti siapa atau di mana saya mendapat kontak rapat," katanya di Twitter.

Ong mengatakan bahawa dia tidak menunjukkan sebarang gejala dan akan menjalani kuarantin 10 hari di rumah.

"Akan meluangkan masa sejam seterusnya untuk memaklumkan kontak rapat saya," katanya.

Ong mengatakan bahawa orang ramai harus menerima bahawa virus Covid-19 kini endemik, yang bermaksud ia tidak akan sepenuhnya dihapuskan dan akan berterusan seperti penyakit demam denggi.

"Protokol pengujian di parlimen menunjukkan bahawa kita dapat terus bekerja dan beroperasi seperti biasa.

"Vaksin juga bermakna bahawa sebilangan besar kes Covid-19 di kalangan orang yang sudah lengkap vaksinasi tidak akan mempunyai gejala atau sangat sedikit gejala," katanya.

Dia menambah bahawa itu juga menunjukkan perlunya menggiatkan vaksinasi di kalangan mereka yang ragu-ragu terhadap vaksin dan juga warga asing yang tidak mempunyai dokumen serta remaja.

Pagi ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan ahli parlimen menanggalkan pelitup muka ketika berucap.

Dia menyatakan bahawa pada pagi itu, ujian di Parlimen tidak menemui kes Covid-19.

Ong tidak berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Dewan Rakyat ketika ini yang bermula pada 13 September, akan berlangsung sehingga esok sebelum ditangguhkan.

Ia akan bersidang semula untuk mesyuarat kedua dari 25 Oktober hingga 16 Disember, di mana Belanjawan 2022 juga akan dibentangkan.