Skip to main
Logo Malaysiakini

AGC failkan rayuan pembebasan Sam ke Mahkamah Tinggi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak pendakwaan hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret di Johor Bahru yang membebas dan melepaskan seorang jurujual wanita atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas.

Penolong Pegawai Undang-Undang Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Nurrul Azrina Arza dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Majistret/Sesyen, Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira 9.15 pagi tadi.

Turut hadir Pegawai Penyiasat Trafik Johor Bahru Selatan ASP Mohd Yusop Mohd Ali dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan berkenaan untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Syafiq berkata rayuan berkenaan difailkan hari ini susulan arahan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun semalam.

“Selepas ini, kita tunggu tarikh daripada mahkamah untuk perbicaraan rayuan tersebut,” katanya.

Ahad lepas, Mahkamah Majistret membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Sam.

Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Sam, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Mereka ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Jurujual wanita itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

- Bernama