Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi Pemas didakwa buat komunikasi jelik terhadap Muhyiddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Pasukan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas) S.Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook miliknya, Mei lepas.

Dayalan, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Dayalan Sreebalan’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 10.03 malam, 30 Mei lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala Lumpur pada 7.15 petang, 2 Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dinesh Muthal, yang mewakili Dayalan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes dijalankan.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Dayalan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama