Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Salah seorang menteri putar belit isu dasar kabotaj negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menentukan kebenaran berhubung kenyataan bercanggah dua menteri kabinet mengenai dasar kabotaj negara.

Sim menulis surat kepada Azhar dua hari lalu bagi menuntut salah seorang menteri yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan dewan agar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Saya memohon Yang Berhormat Datuk untuk menentukan kebenaran dan seterusnya merujuk Ahli Parlimen yang telah memutarbelit fakta serta mengelirukan Dewan yang mulia ini ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Saya memohon keputusan adil dan bijaksana Yang Berhormat Datuk bagi memelihara martabat Dewan Rakyat sebagai majlis yang menegakkan kebenaran serta kejujuran demi rakyat dan negara Malaysia," katanya dalam suratnya kepada Azhar.

Pada 30 September, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat bahawa dasar kabotaj bukanlah faktor mengapa Malaysia tidak dilibatkan dalam projek Apricot oleh Facebook dan Google

Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa memberitahu dalam jawapan tertulis di Dewan Rakyat pada 5 Oktober bahawa dasar kabotaj yang tidak dapat diselesaikan menyebabkan Malaysia tidak dilibatkan dalam projek tersebut.

Dasar kabotaj Malaysia memberi keutamaan kepada kapal Malaysia, antara lain, melakukan kerja pembaikan kabel bawah laut. Peraturan ini dikecualikan semasa kerajaan Pakatan Harapan tetapi dilaksanakan semula semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Syarikat gergasi teknologi Amazon, Facebook, Microsoft dan Google telah berulang kali meminta kerajaan mengembalikan pengecualian kabotaj untuk kerja pembaikan kabel bawah laut kerana mengatakan adalah penting untuk memastikan kerja pembaikan yang cepat dan internet yang stabil.

Tambahan pula Telekom Malaysia Bhd milik kerajaan mempunyai kepentingan dalam Asean Cableship Ptd Ltd - usaha sama yang berpusat di Singapura yang memiliki kapal kelas DP2 yang mampu melakukan penyelenggaraan kabel bawah laut. http://www.aseancableship.com/company/about-us/

Telekom Malaysia Bhd dimiliki oleh dana yang dikendalikan oleh kerajaan.

Sebelum projek Apricot, Malaysia juga mengabaikan projek kabel bawah laut Echo dan Bitfrost.

Namun, Wee tetap dengan pendiriannya bahawa tidak ada pengecualian bagi membina kapasiti tempatan dan mengurangkan aliran keluar mata wang asing.

Sebagai ganti, dia berkata kapal asing masih boleh memohon pengecualian dan akan diberi hak untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh 48 jam jika tidak ada kapal tempatan melakukan kerja-kerja itu.