Polis sita kereta rasmi Norhizam
Polis dilaporkan merampas sebuah kereta rasmi yang digunakan oleh bekas exco, Norhizam Hassan Baktee di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak di Melaka, semalam.
Portal Melaka Hari ini memetik Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali sebagai berkata, pihaknya berdasarkan laporan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 11 Oktober, membuat rampasan pada jam 1.20 pagi di tempat letak kereta kondominium itu.
Katanya, tindakan itu dibuat selepas Norhizam yang juga adalah Adun Pengkalan Batu gagal memulangkan kereta Toyota Camry, dengan nombor pendaftaran MAL 3 berwarna hitam.
“Siasatan awal mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kenderaan tersebut dikeluarkan oleh ketua penolong setiausaha kanan kerajaan negeri pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegwai khas Norhizam.
“Siasatan awal mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kenderaan tersebut dikeluarkan oleh ketua penolong setiausaha kanan kerajaan negeri pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegwai khas Norhizam.
“Ekoran laporan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur,” katanya pada sidang media di IPK Melaka, hari ini.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Abdul Majid lagi, setakat ini seramai lima saksi yang terdiri daripada kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Norhizam selaku Adun Bebas, bersama dengan Idris Haron (BN-Sungei Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (BersatuTelok Mas) menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional / Perikatan Nasional pada 4 Oktober lalu.
Susulan tindakan mereka, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali tumbang dan ini kemudian membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Selain Norhizam, Idris dan Noor Effandi yang juga adalah anggota exco sebelum ini dilaporkan telah mengembalikan kereta rasmi mereka beberapa hari yang lalu.
Norhizam, semalam berkata bahawa dia akan mengembalikan kereta tersebut hari ini.
Dia juga meluahkan rasa tidak puas hati kerana diarah menyerahkan kenderaan rasminya, sedangkan anggota exco lain masih diizinkan untuk menggunakan kenderaan mereka.
Kerajaan negeri Melaka kini bersifat sementara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai