'Rumah mampu milik perlu dilihat sebagai hak asasi manusia'
Ahli panel pada festival pembasmian kemiskinan anjuran Gabungan Marhaen yang dikenali sebagai Himpunan Marhaen, menegaskan bahawa perumahan mampu milik perlu dilihat sebagai hak asasi manusia.
Pada forum dalam festival itu semalam, penyelidik bersekutu Khazanah Research Institute (KRI), Gregory Ho Wai Son membincangkan cabaran berkaitan kemiskinan dan perumahan mampu milik.
Ini termasuk kekurangan perumahan kos rendah yang berkualiti, kelemahan standard perumahan di Malaysia dan tempoh pinjaman perumahan yang menekan pembayar.
Memetik kajian KRI mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur, Ho berkata kajian itu mendapati standard perumahan PPR di bandar ini, "pada tahap tertentu", adalah tidak memuaskan.
Katanya, ukuran standard semua unit PPR adalah 650 kaki persegi, dengan jumlah purata penghuni di setiap unit antara empat hingga enam orang.
"Soalannya adalah: apakah ini benar? Adakah menyediakan rumah untuk orang kurang mampu seluas 650 kaki persegi yang mana didiami kira-kira enam orang sesuatu yang patut?" katanya dalam forum tersebut.
Dia menambah pesara yang tinggal di PPR mungkin tidak memerlukan banyak ruang.
"Jika anda melihat flat HDB Singapura, mereka memiliki berbagai jenis pelan rumah. Sekiranya duduk bujang dan sedang cari kerja pertama kamu, sebuah rumah mampu milik dengan dua bilik mungkin sesuai.
"Dan dalam lima tahun, jika keluarga kamu bertambah besar, kamu boleh memilih untuk mencari rumah yang lebih besar yang sesuai untuk kamu diami," katanya.
Sehubungan dengan itu dia menggesa dasar perumahan yang sesuai bagi menampung keperluan golongan B40 dan menegaskan bahawa mereka layak memiliki rumah sebagai hak asasi manusia.
Sementara itu, wakil Marhaen Urban Settlers Network, E Parames menegaskan bahawa isu perumahan di Malaysia harus dilihat sebagai hak asasi manusia, bukan komoditi.
Dalam forum berkenaan, dia mengemukakan enam tuntutan penting yang dibuat oleh Marhaen Urban Settlers Network.
Ini termasuk membina rumah mampu milik di bawah RM100,000, membina lebih banyak rumah sewa PPR, menghentikan pengusiran paksa, menghentikan lelongan rumah golongan marhaen, menyediakan dana pembinaan rumah B40 / M40, dan meminta majlis perbandaran mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah.
Himpunan Marhaen ditubuhkan sebagai platform bagi kumpulan akar umbi untuk berkongsi pengalaman mereka dalam isu-isu yang mereka hadapi semasa pandemik Covid-19.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai