Skip to main
Logo Malaysiakini

Gara-gara guna 'homestay' - Rais tegur Santhara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gara-gara istilah 'homestay', berbanding inap desa yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim menegur seorang timbalan menteri kerana tidak menggunakan istilah bahasa Melayu itu.

Teguran dibuat ketika Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Santhara Kumar, menjawab soalan Isa Ab Hamid mengenai jumlah usahawan kraf tangan dan pengusaha inap desa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akbar berbahasa Melayu, Berita Harian melaporkan sebaik saja selesai menjawab soalan itu, Rais secara berlapik bertanyakan terjemahan 'homestay' dalam bahasa Melayu kepada Santhara, sebelum seorang Ahli Dewan Negara memaklumkan terjemahannya ialah inap desa.

Namun, ketika menjawab soalan tambahan Isa, Santhara tetap menggunakan perkataan 'homestay', sebelum Rais sekali lagi menegurnya.

"Tak ada sekali pun YB (Yang Berhormat) sebut inap desa (dalam jawapan).

"Saya bukan apa, inilah sebabnya bahasa kebangsaan kita luntur. Ada istilah, kita tidak pakai.

"Dalam hal ini, saya mohon kita sama-sama ingatkan kembali (untuk menggunakan bahasa kebangsaan)," katanya yang dipetik portal itu.

Istilah inap desa telah digunakan sekurang-kurangnya sejak lebih 12 tahun lalu.