KKM rancang mula kajian beri dos penggalak guna vaksin berbeza bulan depan
Kementerian Kesihatan merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak menggunakan jenis vaksin yang berlainan daripada vaksin yang diterima sebelumnya (vaksinasi heterologous).
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, kajian itu akan diadakan di Sarawak pada November ini sebelum diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).
Vaksinasi heterologous dilihat sabagai cara yang berpotensi meningkatkan keberkesanan vaksin selain keanjalan jika berlaku masalah bekalan vaksin.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah menimbang cara ini seawal Jun lalu tetapi belum mengesyorkan pelaksanaannya ekoran kekurangan data.
Buat masa ini, kata Khairy, pemberian dos penggalak hanya akan melibatkan penerima vaksin Pfizer, yang akan menerima dos penggalak juga daripada vaksin jenis itu.
"Ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer) yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober 2021," katanya.
Antara yang akan menerimanya adalah warga berusia 60 tahun ke atas serta petugas barisan depan yang telah lengkap divaksinasi sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.
Mereka akan dihubungi menerusi aplikasi MySejahtera. Bagi yang tiada akses aplikasi itu, mereka akan dihubungi menerusi telefon dan SMS daripada pusat pemberian vaksin.
Dos penggalak untuk warga emas dan petugas barisan depan akan diberikan di klinik swasta, manakala anggota tentera akan menerima suntikan mereka di kemudahan kesihatan tentera.
"Fasiliti kesihatan kerajaan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing. Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan pihak Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.
Katanya lagi, pemberian dos penggalak dibuat secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan objektif untuk menjamin penerima mendapat tempoh perlindungan optimum.
Selain itu, Khairy berkata kerajaan juga akan memberikan dos tambahan kepada individu yang mempunyai imuniti yang rendah seperti pesakit barah, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.
"Dos tambahan" merujuk kepada dos yang diberi kepada mereka yang tidak memberikan respons imun yang memadai setelah menerima dos vaksin yang standard.
Ia berbeza dengan "dos penggalak" yang diberi kepada kalangan yang sudah memberikan respons imun yang cukup tetapi dengan perlindungan terhadap virus yang berkurang setelah satu sela masa.
"Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19.
"Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan yang merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama atau berlainan dengan dos terakhir.
"Pemberian dos tambahan ini akan diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai