Menteri: Berita baik gaji minimum tak lama lagi
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berjanji untuk mengkaji semula gaji minimum nasional.
Menteri itu membuat pengumuman berkenaan pada majlis Himpunan Marhaen, festival forum dalam talian mengenai pembasmian kemiskinan anjuran Gabungan Marhaen.
Saravanan berkata akan ada berita baik mengenai kenaikan gaji minimum dalam waktu terdekat.
“Dalam situasi ekonomi yang mencabar sekarang, Kementerian Sumber Manusia memahami kesukaran yang dihadapi oleh pekerja dalam mendapatkan gaji yang tinggi.
“(Oleh itu), kerajaan sedang mengadakan perbincangan untuk menaikkan gaji minimum nasional.
"Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya akan memastikan bahawa kebajikan pekerja sentiasa dilindungi,” katanya pada forum yang diadakan semalam oleh Gabungan Marhaen.
Dipercayai penilaian semula gaji minimum nasional akan diumumkan pada awal 2022.
Untuk rekod, gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (US$283), manakala kali terakhir ia disemak pada 1 Feb, 2020, dengan kenaikan RM100.
Saravanan, yang berucap merasmikan forum itu berkata pintu pejabatnya akan sentiasa terbuka untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh pekerja.
Himpunan Marhaen menjadi ruang kumpulan akar umbi berkongsi pengalaman mengenai isu-isu yang mereka hadapi semasa pandemik Covid-19.
Ahli panel forum itu termasuk Presiden Pusat Tenaga Kerja UNI-Malaysia (UNI-MLC) Mohamed Shafie Mammal, Presiden Kesatuan Sekerja Perbankan Sabah, Margaret Chin dan wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).
Dibentuk pada tahun 2017, Gabungan Marhaen merupakan gabungan komuniti akar umbi, kesatuan sekerja, NGO, pemimpin dan aktivis masyarakat akar umbi.
Gabungan ini bertujuan menggabungkan dan memperkasa semua komuniti marhaen (terpinggir) ke dalam rancangan dan aktiviti pekerjaan.
Antaranya ia dianggotai oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP), Jawatankuasa Flat Kos Rendah, Gabungan Penternak dan Petani, masyarakat Orang Asli dan Orang Asal, Gabungan ALam Sekitar dan pekerja sektor tidak rasmi
Himpunan Marhaen akan berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober dalam bentuk perjumpaan dalam talian dengan pelbagai tema dibincangkan pada setiap hari.
Mereka yang berminat untuk menghadiri perhimpunan forum boleh mendaftar di sini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai