Skip to main
Logo Malaysiakini

Santhara akan bawa cadangan kaji semula istilah 'homestay'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Santhara Kumar berkata dia akan membawa cadangan kepada pengurusan tertinggi Motac untuk mengkaji semula kesesuaian penggunaan istilah 'homestay' dalam Program Pengalaman Homestay Malaysia.

Santhara berkata, dia mengambil maklum teguran Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dr Rais Yatim ketika dia menjawab pertanyaan lisan Senator Isa Ab Hamid kelmarin.

"Namun begitu, suka saya ingin menjelaskan bahawa penggunaan istilah Homestay tersebut adalah tepat.

"Ia merujuk kepada Program Pengalaman Homestay Malaysia yang telah digunakan oleh Motac sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 1995 oleh YB Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada ketika itu.

"Kekeliruan mengenai penggunaan istilah Homestay oleh Motac yang tidak menggunakan Inap Desa di dalam jawapan yang disediakan bagi Dewan Negara seharusnya tidak timbul kerana ia merupakan kata nama khas dan bukannya kata nama am," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Santhara merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Rais yang menurutnya sentiasa berusaha memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam setiap urusan rasmi Kerajaan.

"Sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya, saya mengambil maklum mengenai pandangan daripada YB senator Yang di-Pertua Dewan Negara serta akan membawa pandangan ini kepada pengurusan tertinggi Motac untuk mengkaji semula kesesuaian penggunaan istilah di dalam Bahasa Malaysia iaitu Inap Desa di dalam Program Pengalaman Homestay Malaysia," katanya.

Kelmarin, Rais Yatim menegur Santhara apabila timbalan menteri berkenaan tidak menggunakan istilah bahasa Melayu ketika menjawab soalan Isa Ab Hamid mengenai jumlah usahawan kraf tangan dan pengusaha inap desa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tak ada sekali pun YB (Yang Berhormat) sebut inap desa (dalam jawapan).

"Saya bukan apa, inilah sebabnya bahasa kebangsaan kita luntur. Ada istilah, kita tidak pakai.

"Dalam hal ini, saya mohon kita sama-sama ingatkan kembali (untuk menggunakan bahasa kebangsaan)," katanya.