Skip to main
Logo Malaysiakini

Pukul pengemis: Pengurusan Komtar akan temui wakil syarikat pembersihan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengurusan Menara Komtar di Pulau Pinang akan bertemu wakil syarikat perkhidmatan pembersihan yang merupakan majikan kepada dua lelaki yang ditahan kerana disyaki memukul pengemis di kawasan berkenaan, menurut Adun Komtar Teh Lai Heng.

Ketika dihubungi, Teh berkata dia dimaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus, yang mewakili pengurusan Komtar, telah menetapkan tarikh pertemuan itu pada minggu depan.

"Saya telah memeriksa dengan pengurusan Menara Komtar. Mereka mengesahkan bahawa lelaki-lelaki tersebut merupakan penyelia pembersihan.

"Polis telah menahan dua lelaki itu dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus akan bertemu dengan syarikat perkhidmatan pembersihan minggu depan.

"Saya rasa tak patut gunakan kekerasan," katanya kepada Malaysiakini.

Polis menahan dua lelaki terbabit setelah beberapa klip video menunjukkan mereka memukul pengemis dengan rotan di bangunan Menara Komtar di Pulau Pinang - yang turut menempatkan pejabat ketua menteri - menjadi tular di media sosial.

Salah seorang perakam video menyebut suspek sebagai "mafia Komtar" manakala satu lagi rakaman menunjukkan seorang orang kurang upaya (OKU) mengalami pendarahan di kepala akibat serangan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, suspek berusia 43 dan 27 tahun itu juga menyerang lelaki yang merakam video tersebut, sebelum mangsa membuat laporan polis.

'Tempat tinggal gelandangan sedang dibina'

Mengulas lanjut, Teh berkata situasi gelandangan di sekitar Komtar dan stesen bas berhampiran disebabkan program Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memindahkan mereka ke tempat perlindungan ditangguh sementara waktu.

“Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, polisi Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat memindahkan gelandangan,” tambahnya.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang juga sedang menunggu pusat transit pertamanya siap bagi golongan gelandangan, yang dilaporkan terletak berhampiran Komtar, iaitu di sepanjang Jalan CY Choy.

Pembinaan bangunan tiga tingkat bernilai RM4.4 juta itu pada awalnya dijangka siap pada bulan ini. Bagaimanapun Teh berkata sekatan akibat Covid-19 menyebabkan kelewatan pembinaan bangunan berkenaan sehingga akhir tahun ini.

"Apabila tempat perlindungan siap, NGO dan kerajaan negeri akan bekerjasama untuk menawarkan gelandangan tempat tinggal dan makanan.

"Orang ramai yang ingin menderma juga boleh berbuat demikian di tempat perlindungan tersebut,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan larangan untuk pengagihan bantuan di tepi jalan.

Sebelum ini dilaporkan pusat transit yang dibina di atas tanah seluas 1,370 meter persegi akan dikendalikan oleh Buddhist Tzu-Chi Merits Society.