KKM jelaskan perbezaan data kematian Covid-19 mengikut kaum
Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan mengapa terdapat dua jawapan berbeza di parlimen berhubung data kematian akibat Covid-19 berdasarkan kaum bagi tempoh yang sama.
Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC), Dr Mahesh Appannan berkata, angka kematian berbeza membabitkan kaum Melayu, Cina dan India dalam jawapan-jawapan berkenaan adalah disebabkan oleh proses pengesahan.
Pada mulanya, jawapan bertulis kepada Ong Kian Ming (DAP-Bangi) menyatakan dari 1 Januari hingga 3 Oktober tahun ini, sebanyak 8,886 kematian akibat Covid-19 direkodkan membabitkan kaum Melayu, dikuti kaum Cina (2,815 kes), India (1,746 kes) dan kaum-kaum lain (12,765 kes).
Bagaimanapun, jawapan yang dikemas kini pada 12 Oktober memperbetulkan kesilapan sebelumnya mengenai kematian bukan rakyat Malaysia, yang menunjukkan data yang berbeza bagi ketiga-tiga kaum ini.
Kali ini, ia menunjukkan bahawa dari 1 Januari hingga 3 Oktober tahun ini, kematian akibat Covid-19 di kalangan kaum Melayu adalah sebanyak 13,772 kes diikuti kaum Cina (4,753 kes) dan India (2,502 kes).
Ini adalah kenaikan 35 peratus kematian membabitkan kaum Melayu, 69 peratus bagi kaum Cina dan 43 peratus bagi kaum India, berbanding jawapan pertama.
Ditanya mengenai perkara ini, Dr Mahahesh berkata perbezaan ini berlaku kerana ketika jawapan pertama dibuat, CPRC masih membuat pengesahan mereka yang berada dalam kategori "lain-lain".
Pada ketika jawapan terkini diberikan, kaum dan kewarganegaraan mereka yang berada dalam kategori "lain- lain" telah disahkan dan ditambahkan kepada kategori yang relevan.
"Pada masa ketika jawapan pertama, kami sedang melakukan pengesahan kewarganegaraan bagi ramai orang dalam kategori "lain- lain " iaitu untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai nombor kad pengenalan.
"Setelah selesai, kami memecahkannya kepada kaum tempatan atau bukan warganegara dalam jawapan kedua.
"Kami seharusnya mengingatkannya dalam jawapan pertama. Maaf," katanya di Twitter.
Integriti data
Jawapan bertulis awal mengenai kematian berdasarkan kaum juga mencuri perhatian apabila KKM memasukkan sekali rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai 'lain-lain' bersama dengan bukan warganegara.
Pertanyaan mengenai perkara itu mendorong KKM mengeluarkan jawapan terkini pada 12 Oktober, yang membahagikan antara Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, rakyat Malaysia yang dikategorikan "lain-lain" dan bukan rakyat Malaysia.
Perbezaan antara data untuk Melayu, Cina dan India juga ditimbulkan oleh pakar perunding pediatrik, Dr Amar Singh.
"Integriti data sangat penting jika kita memahami risiko dan tindak balas sosial untuk mitigasi," katanya.
Ahli Parlimen Bangi Ong berkata, dia berharap pertanyaan yang kemukakan mengenai proses pelaporan data Covid-19 dapat menimbulkan perdebatan yang sihat mengenai analisis data.
Sebelum ini, KKM mengeluarkan data kematian mengikut usia, jantina, lokasi kematian dan komorbiditi tetapi tidak mendedahkan etnik si mati.
Setakat ini, seramai 27,681 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia sejak wabak itu melanda negara pada Januari 2020.
Daripada jumlah ini, 20 peratus meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai