Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib pula mohon dapatkan sementara pasport untuk ke Singapura

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Razak sudah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan sementara pasport agar boleh berkunjung ke Singapura untuk bersama anak perempuannya yang akan bersalin di sana.

Hal itu disahkan peguam bela Najib, Nur Syahirah Hanapiah, yang memberitahu permohonan tersebut dibuat baru-baru ini.

"Betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Nur Syahirah berkata Mahkamah Rayuan dijangka mendengar permohonan tersebut Isnin depan.

Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Rosmah Mansor, untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan sama.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela Rosmah, Jagjit Singh.

Pasport berkenaan mesti diserahkan pada atau sebelum 6 Dis ini.

"Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara ke Singapura mulai 21 Okt 2021 dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 Nov 2021," kata hakim. 

Kunjungan pasangan suami isteri terbabit ke negara di selatan tanah air itu adalah bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.

Kata Nur Syahirah pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan kerana rayuan bagi sabitan kes ahli parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di situ.

Bagaimanapun Nur Syahirah tidak mendedahkan tempoh spesifik yang dipohon Najib kepada mahkamah serta tarikh dia dijangka kembali ke Malaysia.

Sementara itu pegawai yang bertugas di Istana Kehakiman mengesahkan permohonan Najib itu akan diadakan di Mahkamah Rayuan pada 18 Okt ini.